Sunday, January 1, 2012

Cityliner hentikan operasi

PENDANG - Pendapatan lebih 100 pekerja bas henti-henti CityLiner terjejas selepas operasi untuk 18 daripada 20 laluan melibatkan beberapa kawasan di negeri Kedah dihentikan sejak awal bulan ini kerana tidak mampu menanggung kos perbelanjaan yang tinggi.


Pengerusi Kesatuan Pengangkutan Awam Semenanjung Malaysia (TWU) Sesi Alor Setar, Mohd Shukri Mahmood berkata, tindakan menghentikan operasi menyebabkan pendapatan pekerja berkurangan daripada biasa.

Menurutnya, walaupun bas tidak beroperasi seperti biasa, pekerja tetap datang bertugas untuk melakukan kerja-kerja biasa, dengan anggaran pendapatan sekitar RM17 sehari.

"Kebanyakan pekerja bergantung kepada trip, komisen dan elaun kerja lebih masa. Jika sebelum ini mereka mampu memperoleh pendapatan lebih RM800 sebulan, kini mereka hanya mampu memperoleh sekitar RM400 sebulan.

"Bukan sahaja pekerja yang merasai kesannya, malah ribuan penumpang yang sering menggunakan perkhidmatan bas henti-henti ini turut terjejas," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Stesen Bas Pendang, hari ini.

Mohd Shukri berkata, antara laluan yang dihentikan operasi ialah untuk 13 taman sekitar Sungai Petani, laluan Pendang-Alor Setar, Alor Setar-Kangar serta laluan dari Sungai Petani ke Kulim, Baling dan Jeniang.

"Hanya operasi melibatkan laluan Sungai Petani-Butterworth dan Sungai Petani-Alor Setar yang dikekalkan.

"Ramai pekerja yang terjejas, justeru saya berharap pihak berkenaan termasuk syarikat bas dapat mengadakan rundingan segera bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu bas, Ahmad Dahlil, 59, ketika ditemui berkata, pemberhentian operasi bas di beberapa laluan itu menyebabkan pendapatan bulanannya dan rakan lain terjejas.

"Saya menjadi pemandu bas sejak tahun 1981 namun ini kali pertama berhadapan dengan masalah seperti ini. Memang kami masih mempunyai pekerjaan tetapi sumber pendapatan semakin berkurangan kerana bas tidak dapat beroperasi seperti biasa.

"Jika sebelum ini, selain waktu kerja lapan jam iaitu bermula jam 6 pagi hingga 2 petang, saya boleh kerja lebih masa untuk dua hingga empat jam lagi dan mendapat pendapatan yang lebih, tetapi kini tidak lagi," katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/syarikat-bas-henti-operasi-pendapatan-lebih-100-pekerja-terjejas-1.13080

No comments:

Post a Comment