Sunday, January 1, 2012

Jom kunjungi Sungai Petani

Source :Harian Metro,8 July 2010


1 of 5
  • INDAH...Pantai Merdeka antara tempat rekreasi yang menjadi tumpuan pelancong
Bandarnya mempunyai lebih 10 restoran nasi kandar dapat sambutan penduduk luar
 
SUNGAI Petani adalah bandar kedua terbesar di Kedah selepas Alor Setar. Pembangunan pesat di situ seiring dengan prospek pelancongan yang ada di bandar ini.
Bagi pelancong yang mahu berkunjung ke sana, Sungai Petani menyediakan pelbagai kemudahan penginapan, jaringan jalan raya, pengangkutan udara dan kereta api yang selesa dan cepat.

Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa antara empat hingga lima jam. Menyeberangi Sungai Muda yang memisahkan Seberang Perai, Pulau Pinang dan Kedah, anda dihidangkan dengan hamparan sawah padi yang luas.

Pembangunan pesat Sungai Petani menyaksikan taman perumahan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Malah, penduduk dari luar Sungai Petani berhijrah ke sana untuk mencari pekerjaan terutama dalam sektor perindustrian di Bakar Arang dan Sungai Lalang.

Jika mahu mencari makanan, sebut apa saja, daripada nasi kerabu, cucur udang, nasi kandar, mi rebus, ikan bakar, cendol, bihun sup dan nasi kampung yang pasti membuatkan anda kecur air liur. Mungkin anda tidak percaya, tetapi bandar ini mempunyai lebih 10 restoran nasi kandar yang turut mendapat sambutan penduduk luar.

Berkunjung ke Sungai Petani tidak sah jika tidak mengunjungi jam besar di Jalan Ibrahim. Ia adalah mercu tanda bandar itu dan berdiri gagah selepas puluhan tahun untuk menyimpan segala sejarah suka duka bandar berkenaan.

Gabungan tempat bersejarah, pantai, perkampungan nelayan, sawah padi dan taman tema, menjadikan Sungai Petani adalah tempat yang perlu dikunjungi jika datang ke Kedah.

Pantai Merdeka

Pusat peranginan ini terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari pusat bandar. Perjalanan menaiki kenderaan sendiri ke pantai ini mesti melalui Jalan Persekutuan Laluan Butterworth.

Pelancong perlu melalui pekan Tikam Batu dan seterusnya pekan Kota Kuala Muda sebelum tiba di Pantai Merdeka.

Pantai ini juga mudah dilawati dengan menaiki bas dari Stesen Bas Sungai Petani. Terdapat kemudahan perhentian bas, chalet, tandas awam, medan selera dan gerai jualan.

Pantai Merdeka menawarkan kemudahan percutian untuk seisi keluarga. Pelancong boleh bermandi-manda dan berkayak di pantai ini. Terdapat perkhidmatan bot untuk pelancong pergi ke Tanjung Dawai.

The Carnivall

The Carnivall sebuah taman tema air di Sungai Petani. Taman tema ini dibuka pada 25 Disember 2006 dan terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar.

Jika anda dari Lebuhraya Utara Selatan, keluar ikut tol Sungai Petani Utara dan ambil jalan ke pusat bandar ke taman tema ini. Maklumat lanjut, layari laman web: www.thecarnivall.com

Sungai Merbok

Sungai Merbok ialah sungai yang mengalir ke Selat Melaka dan mempunyai hutan paya bakau. Terdapat kemudahan pelancongan di sini. Pelancong boleh melawat Galeri Hutan Paya Bakau dan bersiar-siar di pesisir sungai.

Ada juga disediakan kemudahan bot pelancong untuk mereka yang ingin menyusuri sungai ini. Anda juga boleh berehat dan menjamu selera di restoran makanan laut.

Tanjung Dawai

Sebuah pekan kecil di barat Sungai Petani. Pekan ini sebuah perkampungan nelayan. Hasil laut diproses di sini untuk dijadikan makanan. Pelancong boleh mendapatkan ikan kering, ikan bilis, ikan masin dan pekasam dengan harga berpatutan.

Perkhidmatan bas Mara Liner disediakan ke pekan ini dari bandar Sungai Petani.

Lembah Bujang

Tempat bersejarah kerana mencatatkan sejarah awal Kedah Darul Aman. Lembah Bujang kira-kira 1,000 tahun lalu pusat perdagangan dan pemerintahan Hindu-Buddha di negeri rantau Nusantara.

Kawasan ini juga menerima pengaruh Islam. Terdapat sebuah Muzium Arkeologi di sini. Beberapa candi bersejarah dan artifak telah ditemui sejarawan. Sebuah air terjun mengalir di tepi muzium.

Jika menaiki bas, terdapat bas Mara Liner dan City Liner berhenti di pekan Merbok. Anda boleh berjalan atau menaiki teksi ke Lembah Bujang.

Menara Jam Besar

Di pusat bandar terdapat sebuah bangunan bersejarah iaitu Jam Besar yang dibina pada 1936 untuk memperingati Jubli Perak King George V dan Queen Mary.

Taman Jubli Perak

Taman ini dibina untuk memperingati sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Kemudahan medan selera, trek joging, taman permainan, alatan sukan dan tandas awam disediakan di taman ini.

Penduduk Sungai Petani menggunakan taman ini untuk aktiviti riadah pada sebelah pagi, petang atau hujung minggu.

No comments:

Post a Comment